Wednesday 26 August 2015

Kasih Ibu Hingga Ke Syurga, Kasih Ayah Sepanjang Masa





Assalamualaikum.. Sedang dalam perjalan pulang petang tadi, semasa berhenti di lampu isyarat saya sempat mencapai telefon bimbit dan buka FB sekejap sementara menunggu giliran lampu hijau. Saya terlihat 'new feed' dari seorang saudara yang mengucapkan selamat hari lahir pada anak buahnya yang menyambut hari jadinya yang ke-6 hari ini. Apa yang menyentuh hati saya, anak kecil yang seusia anak sulung saya baru sahaja kehilangan ibunya 3 bulan lalu. 


Telefon bimbit saya letak ke tepi bila lampu isyarat bertukar hijau. Saya mula memandu tetapi masih teringatkan apa yang baru sahaja saya baca tadi. Tanpa saya sedari airmata mula mengalir terkenangkan anak kecil itu. Terbayang wajah anak sulung saya, bagaimana keadaannya sekiranya dia mengalami situasi yang sama. Membesar tanpa kasih seorang ibu dan hanya menumpang kasih pada datuk, nenek, pakcik dan makcik.

Sepantas itu juga wajah ibu terbayang di mata. Ya Allah, sungguh aku bertuah kerana masih mempunyai seorang ibu walaupun telah dewasa begini. Air mata saya mengalir mencurah-curah. Cepat-cepat saya mengambil tisu dan mengesat air mata. Segan pemandu di sebelah yang melihat.

Self reminder untuk saya, kasihilah ibubapa kita selagi mereka masih ada dan berbaktilah pada mereka sebaik mungkin kerana seorang ibu atau bapa mampu untuk menjaga 10 orang anak tetapi seorang anak belum tentu dapat menjaga ibubapa mereka.


Jangan lupa sedekahkan al-Fatihah untuk ibubapa kita sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia setiap pagi, selepas solat 5 waktu dan doakan kesejahteraan mereka. Semoga saya dan anda para pembaca yang dirahmati Allah S.W.T menjadi anak yang soleh dan solehah. Aamiin.

0 comments:

Post a Comment